Monday, June 27, 2011

Kenali COP DAGANGAN


1. Apakah cap dagangan?

Cap dagangan ialah apa-apa tanda yang dapat membezakan barangan dan perkhidmatan seseorang peniaga daripada peniaga-peniaga yang lain. Cap dagangan termasuklah perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi daripada unsur-unsur tersebut.

Cap dagangan merupakan alat pemasaran yang membolehkan pengguna membuat pilihan barangan atau perkhidmatan yang dipasarkan.

2. Apakah fungsi-fungsi cap dagangan?

Fungsi asal- Cap dagangan dapat menunjukkan asal usul sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dipasarkan.
Fungsi pemilihan - Cap dagangan mempermudahkan pengguna membuat pilihan semasa membeli sesuatu
barangan atau perkhidmatan.
Fungsi kualiti - Pengguna boleh memilih barangan atau perkhidmatan yang berkualiti berdasarkan reputasi sesuatu cap dagangan.
Fungsi pemasaran - Cap dagangan adalah medium pengiklanan yang berkesan bagi membolehkan pengeluar
memasarkan barangan atau perkhidmatan.
Fungsi ekonomi – Sesuatu cap dagangan terkenal yang terbukti kualitinya, atau mempunyai reputasi yang tinggi boleh dilesenkan
atau dipindahmilik kepada pihak lain yang menjadikannya aset ekonomi.


3. Apakah perundangan yang mentadbir cap dagangan?
Akta Cap Dagangan 1976
Peraturan-Peraturan Cap Dagangan 1997

4. Kenapakah pendaftaran cap dagangan penting?

Hak eksklusif - Pemilik Cap Dagangan berdaftar adalah diberikan hak eksklusif untuk menggunakan cap dagangan mereka dalam perniagaan. Mereka juga berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menggunakannya tanpa kebenaran sama ada dalam bentuk sivil melalui peruntukan pelanggaran (infringement) di bawah Akta Cap Dagangan 1976 atau pun mengemukakan aduan kepada Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) untuk tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Pendaftaran Muktamad - Sijil Pendaftaran boleh dijadikan bukti sah kepunyaan ke atas sesuatu cap dagangan di mana ia boleh diterima di mahkamah. Sijil Cap Dagangan merupakan dokumen yang penting untuk mengesahkan hak milik sesuatu cap dagangan dalam urusan perdagangan dan perniagaan.

5. Adakah cap dagangan wajib didaftarkan?

Pendaftaran cap dagangan adalah penting untuk mendapat hak eksklusif bagi tujuan mengeksploitasi dan mengambil tindakan pelanggaran walau pun tidak wajib didaftarkan.

6. Apa akan terjadi sekiranya cap dagangan tidak didafttarkan dalam memulakan tindakan pelanggaran?

Pemilik tidak boleh mengambil apa-apa tindakan di bawah peruntukan Akta Cap Dagangan 1976. Walau bagaimanapun tindakan pelanggaran boleh diambil di bawah prinsip undang-undang lazim. Sekiranya cap dagangannya digunakan oleh pihak lain, mereka perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa berlaku kekeliruan di kalangan pengguna berkaitan dengan asal usul sesuatu barangan serta membuktikan bahawa kedudukan pasaran mereka terjejas. Tindakan ini boleh menyebabkan perbalahan, rumit untuk diselesaikan dan memakan masa yang panjang serta melibatkan kos tinggi.

7. Adakah semua cap dagangan boleh didaftarkan?

Tidak. Sesuatu cap dagangan yang hendak didaftarkan mestilah:-

satu atau beberapa perkataan yang dicipta;
nama perseorangan/firma/syarikat yang dinyatakan dengan cara yang khas atau tertentu;
tandatangan pemohon yang boleh dibaca;
tidak boleh menerangkan sifat atau kualiti barangan atau perkhidmatan atau satu nama tempat/geografi;
apa-apa tanda yang distinktif seperti logo, gambar, simbol dan sebagainya; tidak memperdaya atau mengelirukan,
tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang dan tidak menyinggung mana-mana pihak;
tidak menyerupai atau hampir menyerupai pendaftaran permohonan cap terdahulu; dan
tidak menyerupai atau hampir menyerupai mana-mana cap dagangan yang terkenal (well-known mark).

Cap dagangan juga tidak boleh didaftarkan jika mengandungi apa-apa perkataan atau representasi yang dilarang di bawah Seksyen 15 Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan 13, 14 dan 15 Peraturan Cap Dagangan 1997. Antara lain:

Paten, Telah Dipatenkan, Surat Paten Diraja, Berdaftar, Rekabentuk Berdaftar Dan Hakcipta;
DYMM Yang Dipertuan Agong, DYMM Permaisuri Agong, DYMM Sultan-Sultan Dan Tuan Yg Terutama Yang Dipertuan Negeri;
Mahkota atau Lambang Diraja atau Imperial, Lencana, Lambang Kebangsawanan atau Lambang Kebesaran;
Angkatan Tentera Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia;
Bulan Sabit Merah Dan Palang Geneva Yang Berwarna Merah Dan Palang Persekutuan Swiss Yang Berwarna Putih Atau Perak
Yang Berlatarkan Warna Merah;

Perkataan atau representasi Asean dan Bunga Raya.

8. Adakah pendaftaran di Malaysia memberi perlindungan di seluruh dunia?

Tidak, kerana perlindungan adalah tertakluk kepada wilayah/negara.

9. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan perlindungan di luar negara?

Pemohon boleh membuat permohonan secara berasingan di setiap negara yang dikehendaki. Namun begitu permohonan pendaftaran di Malaysia boleh digunakan untuk Tuntutan Tarikh Prioriti bagi pendaftaran di negara-negara ahli Konvensyen Paris atau World Intellectual Property Organization (WIPO).

10. Apakah prosedur-prosedur pemfailan?

Setiap permohonan cap dagangan hendaklah:-

Memfailkan borangCD 5 sebanyak 5 salinan;
Mengemukakan Akuan Bersumpah yang menyatakan cap dagangan tersebut adalah miliknya;
Menyertakan fi. Jika bayaran secara cek/kiriman wang/wang pos, hendaklah di atas nama
Perbadanan Harta Intelek Malaysia;
Mengemukakan dokumen-dokumen sokongan yang lain seperti borang 49 (bagi pemilikan persendirian dan perkongsian),
Tuntutan Tarikh Prioriti dan sebagainya.

11. Berapa lamakah tempoh perlindungan cap dagangan?

Tempoh sah perlindungannya ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama 10 tahun seterusnya.

12. Bilakah permohonan pendaftaran Cap Dagangan boleh dibuat?

Permohonan pendaftaran boleh dibuat pada bila-bila masa sama ada cap dagangan tersebut telah, sedang atau akan digunakan di masa hadapan.

13. Berapakah jumlah kos bagi sesuatu permohonan Cap Dagangan?

Jumlah kos yang terlibat bagi pemfailan permohonan cap dagangan ialah RM330 untuk e-Filing dan RM370 untuk permohonan biasa.
(Klik disini untuk senarai borang dan bayaran)

14. Siapakah yang boleh membuat permohonan pendaftaran Cap Dagangan?

Mana-mana pemilik Cap Dagangan sama ada warganegara atau bukan warganegara yang sedang menggunakan cap tersebut di Malaysia atau bercadang untuk menggunakannya boleh membuat pendaftaran. Pemilik-pemilik tersebut boleh terdiri daripada orang perseorangan, perkongsian, syarikat atau pertubuhan.

15. Perlukah pemohon melantik ejen cap dagangan untuk memfailkan permohonan?

Pemohon tempatan boleh memfailkan permohonan cap dagangan dengan sendirinya. Manakala, pemohon luar negara hendaklah memfailkannya melalui ejen cap dagangan berdaftar.

16. Siapakah ejen cap dagangan berdaftar?

Ejen cap dagangan berdaftar adalah orang perseorangan, firma atau syarikat yang berdaftar di dalam Daftar Ejen Cap Dagangan. Mereka dilantik oleh pemohon untuk mewakili dirinya di dalam proses untuk mendapatkan pendaftaran cap dagangan.

17. Di manakah permohonan boleh dibuat?

Pemohon hendaklah mengemukakan permohonan Cap Dagangan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Kuala Lumpur atau di mana-mana pejabat di Sabah dan Sarawak.

Sebarang pertanyaan atau surat menyurat bolehlah dimajukan kepada :-

Ibu Pejabat

Unit 1-7, Aras Bawah, Menara UOA Bangsar
No. 5, Jalan Bangsar Utama 1
59000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:+603 2299 8400 (Operator)
No. Faks:+603 2299 8989
Pejabat Sabah:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Tingkat 6, Blok C,
49, Jalan Karamunsing,
88000 Kota Kinabalu, Sabah.
No. Telefon:+6088 254 524
No. Faks:+6088 257 046
Pejabat Sarawak:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Lot 9936, (Sub Lot 5), Aras 3, Queen's Court,
93000 Kuching, Sarawak.
No. Telefon:+6082 459 075/ +6082 459 076
No. Faks:+6082 455 052